Teks: Syafiqah Jalal
KUALA LUMPUR, 4 MEI 2011: Pasti ramai yang tidak mengetahui, jauh sekali menyangka bahawa finalis program realiti Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7), Yazid AF7 sebenarnya mempunyai bakat terpendam dalam cabang seni lain iaitu menari.
Malah, tarian sebenarnya adalah cabang seni yang terlebih dulu diceburinya sebelum dia muncul sebagai bintang Akademi Fantasia (AF) lagi iaitu sejak tahun 2011 lagi.
Atas sebab itu, Yazid AF7 atau nama sebenarnya Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 24, bersedia menjadi salah seorang daripada krew kumpulan tarian, Rokusteps yang baru saja berjaya menempatkan diri mereka dalam kelompok Top 12 Showdown 2011 terbitan 8TV.
Nafi mahu meninggalkan bidang nyanyian dan beralih arah terus kepada bidang tarian, Yazid AF7 berkat, tarian adalah satu lagi cabang seni yang mahu diterokainya ketika ini.
"Ramai yang tak tahu saya pernah involved secara serius dalam tarian breakdance sejak dahulu lagi. Sehinggakan saya pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa dalam persembahan tarian Battle Of The Years 2005.
"Jadi kini, saya tak mahu lepaskan peluang untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan Showdown 2011 ini. Bukan apa, saya dah pun bercita-cita untuk masuk ke program realiti ini sejak menonton final Showdown 2010 lagi.
"Buat masa ini, tumpuan saya adalah pada pertandingan serta kumpulan Rokusteps ini. Selepas mencuba bidang nyanyian, saya rasa tidak salah kalau saya mencuba nasib dalam bidang tarian pula," jelas Yazid AF7 ketika ditemui selepas sidang media Showdown 2011 yang berlangsung di Palm Tree Resort, Sepang, baru-baru ini.
Tambah Yazid lagi, untuk menjadi penghibur dan anak seni yang berjaya dia bercita-cita tinggi untuk menggabungkan seni tarian dan nyanyian dalam setiap persembahannya akan datang.
"Kalau boleh saya juga mahu menjadi seorang artis yang dikenali dengan kebolehan menari dan menyanyi. Dengan ini, ia akan memudahkan saya untuk bawakan muzik saya dengan cara saya tersendiri.
"Lagipun, saya kini sedang merancang untuk merakamkan single terbaru tidak lama lagi. Begitupun semuanya masih lagi dalam perancangan. Tidak dinafikan cukup sukar untuk mencipta nama dalam bidang seni. Apatah lagi bergerak sendiri.
"Saya kini terpaksa bermula sebagai orang baru selepas kontrak bersama Astro tamat," kata Yazid yang menduduki tempat keempat dalam kosnert final AF7.
Selain Yazid, kumpulan Rokusteps turut dianggotai oleh enam anggota lain iaitu Wan Faiz Wan Noor, Luqmanulhaqim Yussof, Afzar Md Aris, Mohd Az-Zahir Azmi, Zulkifli Mohamad dan Mod Hairi Ahmad.
Program yang menampilkan ramai bakat-bakat muda berkenaan telah disiarkan di 8TV setiap Rabu jam 9.30 malam.