Saturday, May 7, 2011

Yazid pandai menari



MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 24, atau Yazid? Ada membuat andaian bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu sudah membawa haluan sendiri dan tidak terbabit dalam dunia seni.
Ia mungkin dipengaruhi kemunculan ramai artis baru dan beberapa peserta program realiti televisyen. Begitupun minat dan kesungguhan Yazid untuk mencipta nama dalam dunia seni tidak pernah padam.

Kali ini pemuda kelahiran Johor Bharu itu, mencuba nasib sebagai sebahagian daripada anggota kumpulan tarian, Rokusteps yang menempatkan diri dalam kelompok Top 12 Showdown 2011 terbitan 8TV.

Program yang menawarkan hadiah lumayan berkenaan disiarkan di 8TV setiap Rabu jam 9.30 malam.


Tidak ramai yang tahu perjalanan seni Yazid pada peringkat awalnya bermula menerusi tarian apabila dia aktif menyertai beberapa pertandingan tarian terutama ‘breakdance’.

Selain pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa dalam persembahan tarian Battle Of The Years 2005.

Kesempatan bertemu Yazid baru-baru ini terungkai segala persoalan. Dia yang memaklumkan meminati tarian sejak kanak-kanak dan mengakui ia penuh dengan keseronokan serta kesabaran yang tinggi dalam melakukan setiap gerak geri yang ditampilkan.

“Bukan mudah untuk menguasai tarian (breakdance). Saya mengambil masa agak lama untuk menguasai setiap gerakan terutama apabila membabitkan persembahan berkumpulan.

“Apa yang penting minat, tumpuan dan latihan gigih sebelum menjayakan persembahan,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitan dalam bidang tarian itu, Yazid memberitahu pembabitan pada mulanya secara suka-suka selepas berkenalan dengan beberapa rakan. Pembabitannya bermula sejak sebelum menyertai AF7 lagi. Selepas dipelawa untuk menyertai anggota kumpulan berkenaan (Rokusteps) dia tidak mengambil masa lama untuk memberi persetujuan memandangkan tidak mempunyai komitmen lain.

Pembabitan menerusi program realiti tarian berkumpulan berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan kecenderungan untuk kembali menyanyi.

Begitupun, menurut Yazid ia tidak menjadi halangan. Sebaliknya dia sering mengikuti beberapa persembahan seperti nyanyian dan tarian jika kelapangan.

“Buat masa ini tumpuan saya pada pertandingan dan kumpulan ini. Selepas mencuba nyanyian saya rasa tidak salah mencuba nasib dalam tarian pula.

“Sejak sedekad lalu, saya memang sudah terbabit dalam tarian jadi tidak timbul masalah yang besar untuk menyesuaikan diri dengannya. Kalau boleh saya juga mahu menjadi artis yang dikenali dengan kebolehan menari dan menyanyi.

“Memang saya masih merancang untuk merakamkan single terbaru tidak lama lagi. Begitupun semuanya masih dalam perancangan. Tidak dinafikan cukup sukar untuk mencipta nama dalam bidang seni.

“Apatah lagi bergerak sendiri. Saya terpaksa bermula sebagai orang baru selepas kontrak bersama Astro tamat,” kata Yazid yang menduduki tempat keempat AF7.
Jika dibandingkan dengan populariti empat lagi peserta konsert akhir AF7, nama Yazid mungkin sedikit ketinggalan.

Namun ia tetap tidak mematangkan semangat pemuda yang dikenali dengan imej berambut kerinting itu.
hmetro

No comments: